Facebook
RSS

Memali 1985 : Rindu Perjuangan

-
afdata™

Takbir!

         Allahu Akbar!
         Allahu Akbar!
         Allahu Akbar!

Kedengaran gegak-gempita suara penduduk kampung dari satu sudut. Mereka bersahut-sahutan melaungkan takbir, tanda membesarkan Allah Azza Wa Jalla. Allahu Akbar. Allah Maha Besar. Suara-suara itu begitu bersemangat. Suara-suara itu bukan suara biasa; seakan-akan bergabung menjadi satu. Suara itu ‘hidup’ –seperti ada ruh! Suara itu mampu meniupkan semangat mereka yang percaya kepada tauhid, juga, mampu menggusarkan hati mereka yang cenderung kepada taghut!

Kelihatan beberapa orang lengkap berpakaian polis mengepung sudut itu. Sepasukan FRU mengambil langkah yang sama. Mataku terus melirik ke arah sebuah pasukan yang berpakaian ala-ala komando. Tangan mereka kemas menggalas M16! Tidak lengkap dengan itu, 2 buah kereta perisai turut ‘menemani’ pasukan itu. Pasukan itu membuatkan jumlah mereka mencecah ribuan! Semuanya tertumpu hanya kepada satu sudut..

Tujuan mereka hanya satu, mengepung sebuah rumah papan yang hanya dikelilingi pagar-pagar biasa. Kepung, kemudian hapus! Operasi yang dinamakan Ops Hapus itu akan mengHAPUSkan penduduk-penduduk kampung yang hanya memegang pisau, kapak, pisau menorah getah dan buluh runcing untuk mempertahankan diri masing-masing dan penduduk yang lain. ‘Peperangan’ begini tak adil!

“Argh!”
“Allahu Akbar!”
“Serang!!”
“Allah..”

Suasana riuh-rendah tiba-tiba. Ada yang menangis. Ada yang menjerit. Dan suasana diisi dengan bunyi das tembakan. Peluru hidup seolah-olah terbang di mana-mana, mencari mangsa-mangsa yang tak bersalah. Aku hanya tercegat bagai patung. Kaku.

Aku melihat sekeliling. Darah membanjiri perkampungan itu.  Mayat-mayat bergelimpangan. Suasana sepi. Sayu. Beberapa orang penduduk ditahan. Tangan diikat ke belakang. Beberapa pucuk pistol masih lagi diacu ke kepala. Serentak dengan itu, kedengaran suara kanak-kanak menangis. Menangisi pemergian ayah yang disayangi. Menangisi penahanan ibu yang dikasihi. Kanak-kanak itu belum mengerti apa-apa. Mereka perlu kepada pelukan kasih seorang ayah. Mereka perlu kepada belaian sayang seorang ibu. Sedih aku melihat suasana itu. Hatiku sebak. Lantas, air mataku juga turut mengalir membasahi pipi. Kubiarkan saja ia mengalir, dan terus mengalir.

Memali, Baling, Kedah

“Angah, bila nak sambung buat lesen?” Soalan mama menghapuskan lamunan panjangku. “Lama dah kan tangguh..” Sambung mama.

“Nanti kot..insyaAllah” Aku  menjawab secara tak pasti sambil menyeka air mata. Mujur mama tak toleh ke tempat duduk belakang. Kalau tidak, pasti mama pelik. Tiba-tiba aku menangis. Tambahan pula, jarang aku menangis di hadapan mama.

Rindu Perjuangan

Ah! Sungguh sebak. Hampir setiap kali ketika aku melalui Perkampungan Memali, lamunan itu pasti datang. Bukan lamunan biasa. Lamunan rindu. Aku tak pasti kenapa. Sudah 26 tahun peristiwa itu berlalu, namun, ia seolah-olah segar dalam mindaku, sedangkan aku dilahirkan tujuh tahun selepas peristiwa itu. Entahlah.

Hampir setiap kali aku melalui rumah keluarga As-Syahid Ibrahim Libya, bayangan para pejuang ketika itu seakan-akan melakonkan semula watak-watak mereka di hadapan mataku. Aku perlu melalui kawasan Memali untuk aku ke Pekan Baling, Kedah sekiranya ada urusan di sana. Jarak antara Memali dengan rumahku hanyalah lebih kurang 7 minit jika menunggang motosikal. Jarak yang dekat itu menyebabkan aku selalu dilamun sejarah perjuangan Memali.

Aku rindu perjuangan Memali. Perjuangan itu ada bau. Bau yang tak mampu aku elak. Terus menusuk ke dalam kalbu. Bukan bau harum. Tapi bau rindu..

Memali : Antara Fakta dan ‘Auta’

“Memali ini punya semangat perjuangan tersendiri. Kita tidak mahu semangat ini hanya ‘berkampung’ di Kampung Memali ini sahaja, tetapi merebak luas ke semua kawasan, merebak ke seluruh negara!”

Teringat kata-kata Ustaz Ridhuan Mohd Noor. Tegas maksudnya. Benar. Aku akui kebenaran kata-kata itu.

Aku percaya, ramai dalam kalangan kita sekarang ini tak tahu apa itu Peristiwa Memali. Aku percaya, ini pasti disebabkan langkah berdiam diri pihak bertanggungjawab daripada menjadikan Peristiwa Memali ini sebagai satu isu besar, kerana aku juga percaya, sejarah ini mampu meniupkan semangat perjuangan! Perjuangan oleh mereka yang cinta kepada keadilan. Perjuangan oleh mereka yang benci kepada kezaliman.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang orang zalim itu neraka,
yang gejolaknya mengepung mereka.”(Al-Kahfi:29)

Aku telah membaca sebuah buku yang bertajuk ‘Memali’, sebuah cerita benar-aku pasti- yang diceritakan oleh ahli keluarga para syuhada’ dan penduduk tempatan yang berada live ketika peristiwa yang berlaku pada 19 November 1985 itu. Justeru,bolehkah aku dikatakan pro-Memali hanya kerana aku membaca karangan mereka?

Para Syuhada'

As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan sahabat-sahabat seperjuangan yang lain pada mulanya telah dikatakan sebagai komunis, kemudian pengganas sebelum diikuti dengan tohmahan bahawa mereka ialah penganut-penganut ajaran sesat.

Namun, berdasarkan latar belakang tarbiyah dan kerjayanya, terbukti as-syahid mendapat pendidikan yang terbaik. Bermula dari pendidikan Islam asuhan ayahandanya Tuan Haji Mahmood seorang guru agama yang disegani dan kemudiannya ke Madrasah Khairiah Poko Sena. As-syahid meneruskan pengajian di Pusat Pengajian Tinggi di Nilam Puri untuk beberapa tahun sebelum belayar ke Lucknow dan Durban, India mendalami hadis. Beliau sempat berguru dengan tokoh ulama Islam tersohor di abad ini iaitu Maulana Sayyid Abul Hassan Ali Nadwi. As-syahid berada selama lebih kurang empat tahun di India sebelum melanjutkan pengajian ke Azhar, Mesir. Selepas itu,as-syahid menamatkan pengajiannya di Libya pula sebelum pulang ke tanah air dan berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri. Seterusnya,as-syahid bergiat aktif dalam platform dakwah, pendidikan dan politik. Nah! As-syahid ialah penganut ajaran sesat? Atau mungkin atas faktor pengaruh perjuangannya menentang puak-puak zalim, as-syahid dilabel sebagai pengganas dan sebagainya, begitu?

Jawapanku mudah.Tak tahu. Aku hanya rakyat biasa yang juga cinta akan Islam dan keadilan yang dibawa oleh Islam. Maka, untuk membuka pintu keadilan, kes ini mesti dibuka di mahkamah, biar perbicaraan berlangsung –walaupun aku turut meragui keadilan mahkamah dunia. Sesiapa yang bersalah wajar dihukum. Mengapa kes ini didiamkan? Di kala ini, tiada langsung sebarang berita mengenai kes ini dipaparkan di media-media arus perdana.

Jika ada bukti as-syahid bukanlah as-syahid seperti yang digembar-gemburkan suatu ketika dahulu, buktikan. Setakat pembacaanku yang sedikit ini, darah dan peluh mereka dikatakan masih basah walaupun sudah berhari-hari di bilik mayat. Jika ada bukti as-syahid ialah seorang pengganas, buktikan. Setakat pengetahuanku yang sempit ini, mereka hanya bersenjatakan pisau, kapak, pisau menoreh getah, buluh runcing dan molotov cocktail yang diperbuat daripada minyak tanah dan petrol. Berani kerana benar, takut kerana salah!

Terus Hidup

Firman Allah s.w.t :
وَلَا تَقُولُوا لِمَن يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتٌ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ
“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”
(Al-Baqarah:154)

Maka benarlah firman Allah, Allah Yang Maha Hebat. MasyaAllah. Sungguh mulia mereka yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah s.w.t. Sungguh besar erti pengorbanan mereka yang berjuang fisabilillah. Sungguh mulia mereka yang berjihad demi mempertahankan akidah. Allahu Akbar..

Meskipun sudah 26 tahun Peristiwa Memali berlalu, dan seperti biasa, pihak bertanggungjawab terus-menerus berdiam diri, sejarah ini tak akan terus berkubur. Bahkan, sejarah ini perlu terus dihayati dan diselami sebaiknya.

Bahkan, Mereka Terus 'Hidup'

Suka untuk aku petik kata-kata As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya,
“ ..sesuatu yang mesti diingatkan kepada saudara-saudara yang masih hidup lagi sesudah kami para mujahiddin ini bertemu dengan Allah swt di dalam syurga firdaus. Kalau saudara/i masih hidup lagi akan berdosa kepada Allah sekiranya zuriat akan datang akan kencing di atas kubur-kubur saudara kerana saudara hidup tidak mahu berjuang dan berjihad untuk menegakkan kalimah Allah yang Maha Tinggi. Kami para mujahiddin yang sudah mati syahid dan dikuburkan berserta darah-darah merah.. kami berada di syurga dan saudara-saudara tetap berdosa dengan Allah Taala seandainya saudara masih berdiam diri...”

Perjuangan meninggikan syiar Islam oleh mereka-mereka terdahulu wajar diambil iktibar dan penghayatan.
Perjuangan itu perlu terus dicontohi dan diikuti kerana kitalah penyambung mata rantai perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dan nabi-nabi sebelum baginda.
Perjuangan meninggikan kalimah tauhid LAILAHA ILLA ALLAH ini perlu hidup subur dalam diri setiap manusia yang mengaku dirinya beriman.

Ah! Aku rindu bau perjuangan itu..

a f d a t a
Teratak Bayu
© 2011 | jalantubik.blogspot.com


Rujukan:
Buku ‘Memali’ ;1989
Peristiwa Memali 1985
As Syahid Ustaz Ibrahim Mahmood
Memali: Kebenaran Yang Samar, Pendustaan Yang Tersembunyi




2 Responses so far.

  1. buku riduan mohamad nor,tajuk pe yg mnceritakan peristiwa berdarah memali ?

Leave a Reply

    Followers

    About Me

    My Photo
    afdata™
    Lahir daripada setitis air yang hina, juga keluarku dari saluran yang hina. Aku..engkau..KITA..sama!
    View my complete profile
    Powered By Blogger