“Achik, adik mana?”soalku kepada Achik sambil mencari-cari kelibat adik bongsuku di sekitar kawasan sembelihan lembu.
Suasana agak riuh. Suara kanak-kanak bermain menampakkan keceriaan mereka di pagi raya itu. Orang-orang dewasa sibuk ‘bekerja’ di belakang rumah Pak Cik Man itu. Abahku sendiri kelihatan mundar-mandir menguruskan lembu yang bakal dikorbankan. Risau terlambat daripada waktu yang ditetapkan, walaupun seminit. Itulah sifat Abah. Kagum aku dengannya. Mana tidaknya, orang sudah ramai di rumah Tok, lembu pula masih santai bersuara di sini. “Mbooo…”.
“Eh,awat dok sini? Jom la gi tengok orang sembelih lembu.” Aku menarik tangan adik ke tempat sembelihan.
“Tak mau la Angah. Yang pertama, sebab kesian..Adik kesian tengok lembu tu kena sembelih, kesian dia..Yang kedua,takut :)” Adik menjawab. Seakan-akan tahu apa soalanku seterusnya.
“Betul juga. Kesian juga tengok lembu sihat-sihat macam tu kena sembelih.”Hatiku berkata. Namun kugagahi jua memujuknya ke tempat sembelihan. "Adik, Nabi kita cakap 'Gi la tengok orang sembelih lembu,nanti Allah ampunkan dosa..' Jom la dik.." Adik kalah kali ini.
Aku hampir terpengaruh dengan faktor pertama Adik,‘kasihan’ tapi aku tak boleh terpengaruh dengan faktor keduanya. Perasaan takut itu aku buang jauh-jauh. Mungkin ada sesuatu yang boleh aku belajar daripada lembu itu!
Belajar Daripada Lembu
Allah Akbar Allah Akbar Allah Akbar
Laailaaha illallah
Allah Akbar
Allah Akbar
Wa lillah alhamdu
Orang-orang kampung bertakbir dan bertahmid memuji Allah s.w.t ketika Che Aji meletakkan pisaunya ke leher lembu yang telah rebah itu. Tersungkur. Sebentar tadi lembu itu cukup liar untuk direbahkan. Berlari ke sana sini. Seluruh kawasan sembelihan kecoh dibuatnya. Kini, lembu yang gagah itu kalah di tangan beberapa orang ‘pakar’ merebahkan lembu. Itupun memerlukan sekurang-kurangnya tiga orang ‘pakar’. Lembu itu seolah-olah sengaja melemahkan diri. Ditambah pula dengan takbir dan tahmid orang-orang kampung, suasana kelihatan pilu. Itulah korban nyawa seekor lembu.
Aku yakin lembu itu tahu, dirinya akan menjadi bukti korban manusia dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah s.w.t tanpa apa-apa keraguan.
Bukti itu sangat berharga buat dirinya biarpun tak berpeluang seperti qibas yang menggantikan Nabi Ismail a.s saat dirinya akan disembelih bapa kandungnya, Nabi Ibrahim a.s atas arahan Allah s.w.t. Perbuatan yang dilakukan itu sebagai satu pengabdian diri kepada Allah SWT seperti dalam surah al-Saaffat ayat 107: “ Dan kami tebuskan anak itu dengan seekor sembelihan yang besar”. Sesungguhnya pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s sangat besar nilainya di sisi Allah s.w.t.
Tidak Disebut Perjuangan Tanpa Pengorbanan
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan). Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Surah Al-'Ankabut: Ayat 2-3)
Suka juga untuk saya memetik serangkap tulisan Ustaz Idris Haji Ahmad,
“Sembelih anak ini bukan perkara logik, tetapi nabi Allah Ibrahim A.S melaksanakan kerana ini arahan Allah SWT. Justeru itu renungan kita sebagai pejuang, di mana Allah SWT tidak memerintahkan kita menyembelihkan anak, tetapi hanya untuk berkorban apa sahaja untuk Islam dan demi kelangsungan perjuangan agama Allah SWT.
Tidak disebut perjuangan kalau tanpa pengorbanan. Kerana Islam tidak menang kalau tidak ada pengorbanan di kalangan para Rasul dan Nabi-Nabi A.S. Merekalah orang yang paling banyak diuji oleh Allah SWT.”
Maka, kita perlu kembali kepada konsep sebenar ibadah korban.
Jika tidak, malu kita kepada lembu!