Facebook
RSS

Road To Ramadhan

-
afdata™

PERSEDIAAN UMAT ISLAM MENJELANG RAMADHAN
Road To Ramadhan -jalantubik.blogspot


Realitinya, apabila sesuatu tempat atau sesuatu majlis bakal dikunjungi oleh pemimpin-pemimpin, selebriti, artis terkenal atau orang kenamaan adalah menjadi kelaziman kita bertungkus lumus membuat perancangan dan persediaan rapi. Kita sedaya upaya mengelak daripada berlakunya kekurangan dan cacat cela semata-mata meraikan kehadirannya.   Mungkin kita alpa dan leka, kedatangan bulan Ramadhan adalah seperti bulan-bulan biasa, tidak diendahkan bahkan ada yang merasakan kedatangannya memeritkan kerana terpaksa menahan diri dari lapar dan dahaga.
Anehnya wahai manusia, belum bermula Ramadhan sudah berkira-kira untuk membuat persediaan menyambut Syawal. Langsir sudah ditempah, rumah mungkin sudah dicat baru, perabot diganti baru. Tidak ketinggalan mereka yang sudah berkira-kira menerima tempahan kuih raya. Media elektronik pula sibuk dengan persediaan drama syawal, dan rakaman lagu sempena hari raya.  Alangkah bertuahnya sekiranya  persiapan yang sebegini rapi kita  lakukan sempena menyambut ketibaan Ramadhan yang dinanti-nantikan.

Yang Bermaksud:  Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra: Bahwa sesungguhnya Rasulullah saw. pernah bersabda : Ketika datang bulan Ramadhan: Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, Syaitan- Syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilanya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya ( tidak beramal baik didalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini).( HR. Ahmad )
 Jika dihayati mafhum hadith, mana mungkin seseorang yang tinggi keimanannya tidak bergembira dengan  berita akan tibanya satu bulan  yang dibuka padanya seluruh pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka. Beginilah keadaanya Rasulullah dan para sahabat yang ternanti-nanti bahkan rindu dengan kehadiran Ramadhan sehingga Baginda Rasulullah SAW mula membuat persedian menyambut Ramadhan seawal bulan Syaaban.   Baginda Rasulullah SAW seorang yang sering malaksanakan ibadah puasa sunat dan baginda tidak dilihat memperbanyakkan ibadah puasa melainkan  pada bulan syaaban.

Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban”  (Hadith Riwayat Bukhori )
Hikmah perbuatan rasulullah yang memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban boleh dikiaskan kepada kita sebagai  suatu bentuk sesi  latihan untuk menghadapi sebulan berpuasa. Bayangkan dengan amalan puasa sunat yang jarang-jarang atau tidak pernah  kita lakukan, secara tiba-tiba kita terus berpuasa selama sebulan mungkin memberi kesan tahap kesempurnaan ibadah dan juga kesihatan tubuh badan.
Tentatif Universiti Ramadhan -jalantubik.blogspotIbn Rajab di dalam kitabnya Latoif al-Ma’a rif menyebut: Sesungguhnya puasa bulan Syaaban merupakan latihan sebelum berpuasa pada bulan Ramadhan ,agar apabila telah masuk Ramadhan seseorang itu tidak merasa beban dan kesukaran. Selain daripada itu ia akan menjadikan orang yang berpuasa pada bulan Syaaban dapat merasai nikmat dan kelazatan berpuasa seterusnya apabila masuknya Ramadhan berpuasa dalam keadaan kuat dan cergas.
Antara amalan yang boleh dimulakan seawal mungkin ialah  membaca al-Quran. Anas bin Malik sahabat Baginda SAW berkata: Apabila masuk bulan Syaaban, Umat Islam pada ketika itu menumpukan sepenuh perhatian membaca al-Quran. Berkata seorang ahli Salaf: Bulan Syaaban adalah bulan pembaca-pembaca al-Quran, Sesiapa yang istiqamah dan dapat memelihara amalan membaca al-Quran sebelum Ramadhan nescaya dia dapat memeliharanya sehingga bulan Ramadhan.
Pernah diceritakan, seorang muslim yang sudah lama meninggalkan bacaan al-Quran merasa terlalu berat dan malas untuk membaca walaupun baru membaca beberapa potong ayat.. Maka dia dinasihatkan agar terus-menerus membaca al-Quran. Apabila dia telah membaca sekitar 2/3 al-Quran, perasaan malas dan berat itu hilang sebaliknya dia semakin minat untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran.
Keadaan inilah yang biasa berlaku kepada mereka yang jarang dan lalai membacanya. Oleh yang demikian memperbanyakkan  membaca al-Quran di bulan Syaaban mampu menjernihkan hati sehingga hati dipenuhi dengan cahaya dan memudahkan jiwa untuk tunduk melaksanakan ibadah di dalam bulan Ramadhan.   Sebenarnya terlalu banyak persediaan yang patut kita lakukan menjelang ramadhan.
Antara yang lain ialah:
1) Persediaan ilmu agama. Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu di dada. Dikhuatiri ibadah yang diharapkan  mendapat pahala sebaliknya tidak diterima malahan mendapat dosa.  Menjelang Ramadhan, kita diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama. Sama ada dengan cara membaca buku, menghadiri kuliah-kuliah agama atau melayari internet. Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa. Hal ini begitu penting untuk mendapat kesempurnaan ibadah puasa.

2) Persediaan kesihatan.   Ibadah puasa melibatkan kesihatan tubuh badan. Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan puasalah tubuh badan dikerah bekerja kuat melaksanakan solat sunat tarawih, qiamullail , membaca al –Quran, iktikaf dan sebagainya.   Penjagaan kesihatan ini termasuklah menjaga pemakanan yang seimbang, riadah dan menjauhkan diri dari perkara yang mendatangkan penyakit seperti tabiat merokok.

3) Persediaan  dari sudut kewangan.   Di antara amalan yang begitu mulia dalam bulan Ramadhan ialah bersedekah. Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling dermawan dan baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a:    
“Rasulullah saw ialah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan di saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al- Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (HR. Bukhari) Mereka yang jarang-jarang  bersedekah dikhuatiri tidak memanfaatkan peluang memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadhan. Sebagai persediaan, kita disarankan agar mula berjinak-jinak dengan amalan bersedekah. Mungkin ia boleh dimulakan dengan jumlah yang kecil atau menderma di tabung-tabung masjid dan surau. Mudah-mudahan lama kelamaan sifit kikir dan bakhil itu dapat dibuang secara beransur-ansur. Bagi mendapat kelebihan  bulan Ramadhan , kita juga harus menangguhkan sedekah  pada bulan-bulan  lain semata-mata untuk disedekahkan pada bulan Ramadhan dengan syarat ia bukanlah sedekah yang dihajati seperti orang fakir miskin yang memerlukan  dan orang dalam keadaan susah dan berhutang. 

 4) Memperbanyak menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan. Di antara persiapan lain yang perlu ada ialah memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Hal ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita untuk membuat persediaan bertemu Ramadhan. Bukankah sesuatu acara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika diwar-warkan. Contoh mudah, bagaimanakah perasaan kita di saat diwar-warkan  sesuatu sambutan yang besar, seperti Piala Dunia Bola Sepak. Pada ketika itu seluruh saluran media hebat membuat promosi. Kesannya seluruh masyarakat dunia termasuk rakyat Malaysia ternanti-nanti dan merasai bahang temasya tersebut. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut  kemulian dan ganjarannya oleh media massa dan seluruh umat Islam.
10 Warming Up Menuju Ramadhan -jalantubik.blogspot

Oleh: Amru Alhaz bin Adnan | Portal Rasmi Masjid Negara

Leave a Reply

    Followers

    About Me

    My Photo
    afdata™
    Lahir daripada setitis air yang hina, juga keluarku dari saluran yang hina. Aku..engkau..KITA..sama!
    View my complete profile
    Powered By Blogger